Indonesia atasi kes Filipina

JAKARTA 5 Nov. – Indonesia mengatasi Filipina dalam jumlah kes jangkitan Covid-19 apabila merekodkan lebih 425,000 kes berbanding Filipina lebih 389,000 kes.

Kes jangkitan di Indonesia meningkat kepada 425,796 kes selepas merekodkan 4,065 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam (12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini) dengan kes aktif 54,306.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes harian tertinggi dengan 797 kes menjadikan kumulatifnya 109,411 kes diikuti Jawa Barat 627, Jawa Tengah 360, Kalimantan Timur 307 dan Jawa Timur 278.

Bagi pesakit meninggal dunia, sebanyak 89 kes dilaporkan yang membawa kepada jumlah kumulatif 14,348 kematian.

Jawa Timur merekodkan 15 kematian diikuti Jakarta 15, Jawa Tengah 15 dan Jawa Barat sembilan kes.

Sementara itu, kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 3.860 orang menjadikan jumlah kes pulih 357.142.

Jakarta penyumbang pesakit sembuh tertinggi harian dengan 972 kes dengan kumulatifnya 98,715 manakala Jawa Barat merekodkan 380 kes, Sumatera Barat 374, Jawa Tengah 330 dan Jawa Timur 267 .

Sementara itu, FILIPINA merekodkan 1,594 kes tambahan Covid-19 yang menjadikan jumlah kumulatifnya 389,725 dengan kes aktif 32,773.

Sebanyak 42 lagi pesakit meninggal dunia yang membawa jumlah keseluruhan 7,409 kematian.

Pada masa yang sama kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah 468 dan ini membawa kepada 349,543 kes sembuh.

Related posts

Leave a Comment