Zon merah elak balik kampung

PUTRAJAYA 5 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan individu yang berada di zon hijau supaya mengelakkan diri daripada penduduk berisiko dari zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu bagi mencegah jangkitan Covid-19 yang dibawa daripada aktiviti rentas daerah atau negeri.

“Kalau boleh elak rentas negeri atau daerah sebab kita jangan bawa ke zon hijau walau kita tiada gejala… kerana 60 hingga 70 peratus yang dijangkiti tiada gejala.

“(Individu) di kawasan zon hijau pastikan mereka ambil tindakan berjaga-jaga. Siapa-siapa ada di zon merah, elak kes (mereka berisiko) daripada kes zon merah ini kerana kebimbangan kita ada aktiviti rentas negeri dan daerah,” katanya.

Beliau turut memberi contoh pesakit Covid-19 yang telah merebakkan jangkitan di Kelantan berikutan aktiviti rentas negeri.

Justeru mereka di zon merah dinasihatkan jangan balik kampung kerana boleh membawa risiko kepada ibu bapa, warga emas dan kanak-kanak seperti berlaku di Kelantan yang menjangkiti empat orang.

“Sekarang ini kita melakukan saringan ke atas 127 individu termasuk 40 pekerja dan 87 kenalan individu berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kluster terbesar di Selangor, Kluster Utama masih mencatatkan kes baharu dan melibatkan beberapa daerah di Selangor dan Melaka.

Justeru, Dr Noor Hisham mengingatkan mana-mana individu yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) agar tidak merentas daerah atau negeri.

“Apa yang penting ialah jangkitan ini bukan jangkitan awal tetapi jangkitan lewat. Kita akan lihat pada CT Value. Kalau CT rendah, makna baru dijangkiti, kalau tinggi ia dijangkiti dua atau tiga minggu lepas,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment