Sidang Parlimen tangguh awal

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bermula pagi ini ditangguhkan pada pukul 1 petang ini dan disambung semula pada pukul 10 pagi esok sebagai langkah mengekang pandemik Covid-19.

Penangguhan itu dibuat selepas Dewan Rakyat meluluskan usul berkenaan yang

dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan pada pukul 12 tengah hari di Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas) itu, keputusan tersebut dibuat selepas satu mesyuarat tergempar diadakan bersama 11 Ahli Parlimen dan wakil Ketua Pengarah Kesihatan bagi usaha untuk mengekang pandemik Covid-19.

“Mesyuarat tersebut telah mengambil beberapa ketetapan yang pertamanya, suatu norma baharu berhubung Persidangan berdasarkan kepada faktor-faktor dengan syarat apa-apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan Dewan ini tidak menjejaskan hak Ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan, dan berbahas di Dewan ini.

“Kedua pihak Parlimen akan mengendalikan satu tatacara pentabiran yang melibatkan catatan kehadiran Ahli-ahli Parlimen dan keluar masuk Dewan. Ketiga, ketua-ketua parti akan diberi arahan bagi memenuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetap oleh pihak Parlimen,” katanya ketika membaca usul tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau juga memaklumkan seorang pegawai kontrak ahli Dewan Negara di Parlimen disahkan positif Covid-19 dan susulan itu pihaknya menjangkakan beberapa ahli Dewan Negara berkemungkinan turut dijangkiti wabak tersebut.

Ini kerana mereka merupakan kontak rapat kepada ahli Dewan Negara dan mempunyai kaitan keluarga.

Ketika menjawab pertanyaan daripada Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) apakah rasional persidangan dipendekkan kerana banyak usul yang perlu dibahaskan untuk membantu rakyat.

Takiyuddin berkata, satu persetujuan bersama telah diputuskan semua wakil daripada parti yang turut disertai oleh Speaker Dewan Rakyat dan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka yang hadir pada perjumpaan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu antaranya Mohamed Azmin Ali, Dr Ahmad Zahid Hamidi (wakil Barisan Nasional), Hamzah Zainudin (Bersatu), Fadillah Yusof (GPS) dan Johari Abdul (PKR).

Related posts

Leave a Comment