Maszlee bukan lagi ‘Pejuang‘

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengumumkan penarikan diri beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja (AJK) penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Menurut Maszlee, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi serta kehendak rakyat terbanyak.

“Saya yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis. Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-bebar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya ingin menumpahkan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19, khususnya di Simpang Renggam dan umumnya di seluruh Malaysia,” katanya.

Bekas Menteri Pendirikan era pemerintahan Pakatan Harapan itu berkata kenyataan media itu bertujuan menjelaskan keadaan terkini dirinya dan Pejuang selepas timbul persoalan satu kenyataan media Pejuang yang tidak menyenaraikan namanya.

Semalam, Pejuang dalam satu kenyataan bersama ahli-ahli Parlimen Bebas (Pejuang) berkaitan Belanjawan 2021 tidak menyenaraikan nama beliau sebaliknya hanya nama ahli Parlimen Langkawi, Jerlun , Kubang Pasu dan Sri Gading.

Pada 17 Oktober lalu juga terdapat laporan yang mengatakan Maszlee didakwa memberi akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Anwar pula ketika sidang media pada 23 September lepas mengenai sokongan ahli Parlimen terhadapnya memaklumkan ahli Parlimen yang mewakili Pejuang tidak ada dalam senarainya.

Maszlee juga merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang turut menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Maszlee berkata, beliau akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan melalui ruang aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan rangkaian NGO dan aktivis lain.

“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya lagi.

 

Related posts

Leave a Comment