PKPD Penjara Alor Setar tamat

KUALA LUMPUR 1 Nov. –  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Penjara Alor Setar ynag bermula 5 Oktober lalu ditamatkan mulai esok, 2 November, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 1 November mendapati tiada lagi kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh tujuh hari terkini.

Kerajaan juga akan melaksanakan PKPD Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu bermula 3 hingga 16 November 2020 yang melibatkan 1,820 tahanan dan 114 kakitangan.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu bagi menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan dan kakitangan pusat tahanan tersebut.

“Setakat 30 Oktober, seramai 261 tahanan serta kakitangan telah disaring dan seramai 56 orang tahanan didapati positif Covid-19,” katanya pada Sidang Media Perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini petang ini.

PKPD ini akan melibatkan seramai 1,820 orang tahanan dan 114 orang kakitangan pusat tahanan tersebut.

Katanya, semalam Task Force Operasi Pematuhan membuat 52,552 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP).

Pemeriksaan melibatkan 3,449 pasar raya, 4,288 restoran, 1,245 penjaja, 1,947 pasar awam/tani serta 2,991 tempat ibadah dan 1,290 tempat riadah.

Hasilnya, polis menahan 485 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPP di mana 480 dikompaun dan lima direman.

Antara kesalahan ingkar arahan itu adalah tidak memakai pelitup muka (162),

penjarakan fizikal (123), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (79), aktiviti pusat hiburan (25), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13) dan 83 lain-lain kesalahan.

Mengenai kawalan sempadan negara, Op Benteng semalam berjaya menahan 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 298 sekatan jalan raya juga dilakukan diseluruh negara melibatkan polis (224), tentera (65) dan AKSEM sembilan.

Sementara itu, seramai 59,061 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa di mana 10,035 sedang menjalani kuarantin wajib di 62 hotel dan 19 premis sementara 381 ke hospital. Sebanyak 48,645 individu telah dibenarkan pulang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related posts

Leave a Comment