Covid-19 : Akur arahan jamin kesejahteraan

TENGAH hari ini, duduk di rumah. Buka TV, kalau-kalau ada siaran langsung khutbah Jumaat. Malangnya tidak ada siaran langsung. Tak pasti sama ada slot itu masih wujud atau ditiadakan hari ini kerana PKPB. Di Kuala Lumpur dan Putrajaya, solat Jumaat terhad kepada 50 orang.

Bagi rakyat Selangor, nak ke masjid tidak ada solat Jumaat dan bilangan jemaah Zuhur pun dihadkan beberapa orang sahaja, tak habis kira 10 jari. Waktu tu boleh  sahaja lepak makan nasi kandra di restoran Taqwa atau Arsad atau mundar mandir di Tesco atau CS tetapi itu bukan satu keperluan.

Akhirnya selak laman web Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Jumpa khutbah hari ini bertajuk Akur arahan menjamin kesejahteraan. Tentunya khutbah ini dibaca di masjid atau surau Jumaat sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Seperti kita maklum, negara sedang melalui gelombang ketiga penularan wabak Covid-19. Peningkatan mendadak kes sejak kebelakangan ini dengan kemunculan kluster-kluster baru membimbangkan dan merisaukan masyarakat.

Benarlah, kita masih belum menang dan mesti terus berjuang bersama-sama memerangi pandemik ini. Dalam hal ini, tanggungjawab kita adalah mematuhi arahan kerajaan dalam pencegahan wabak ini termasuk dalam perkara amar makruf nahi munkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-‘Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Khatib mengingatkan, sebagai masyarakat yang prihatin, kita berperanan mengekang penularan wabak ini dengan mematuhi setiap SOP yang  dikuatkuasakan. Janganlah alpa dan leka terhadap pematuhan SOP yang kita amalkan sejak dari awal kebiasaan baharu bermula.

Keprihatinan dan kebertanggungjawaban kita adalah penentu kejayaan dalam memerangi pandemik ini.

Sebagai langkah berkesan bagi memastikan keselamatan semua anggota masyarakat, khatib mengingatkan kepada mereka yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19, supaya mematuhi arahan kuarantin kendiri yang diarahkan oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, kita juga hendaklah mengawasi golongan yang berisiko dalam ahli keluarga seperti warga emas dan kanak-kanak serta ahli keluarga yang ada penyakit kronik kerana mereka berisiko untuk dijangkiti. Janganlah kita menjadi punca kepada penyebaran wabak ini dalam ahli keluarga kita.

Mimbar juga mengingatkan masyarakat, supaya jangan mencetuskan persepsi negatif terutama di media sosial terhadap mereka yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri mahupun mereka yang  disahkan positif jangkitan ini. Dorong mereka untuk akur menjalani rawatan dan berdoa agar tabah menghadapi ujian.

Khatib juga membacakan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi SAW yang bermaksud: bersabda: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

Sebelum mengakhiri khutbah, khatib sekali lagi mengingatkan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif bagi mengekang wabak Covid-19 termasuk menjauhi kawasan sesak, sempit dan sembang dekat. Amalkan mencuci tangan dengan air dan sabun secara kerap dan pakai pelitup muka dengan betul ketika berada di tempat awam sama ada bergejala atau tidak.

Kita juga dinasihatkan supaya mengelakkan bersalaman atau bersentuhan termasuklah perbuatan melaga-lagakan mana-mana bahagian tubuh badan. Sentiasalah mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul dan lakukan nyahkuman terutama di tempat atau kawasan yang kerap digunakan.

Khatib turut menasihatkan seperti apa yang kebanyakan kita sedang lakukan ketika ini iaitu duduk di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar. Satu lagi pesanan khatib, segeralah mendapatkan rawatan jika bergejala.

Mengakhiri khutbah, khatib mengajak jemaah merenungi firman Allah SWT dalam Surah al-Syura, ayat 30 yang bermaksud:  “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

Semoga kita dilindungi.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kesejahteraan, keamanan, keselamatan serta perlindungan daripada musibah, bala bencana dan wabak penyakit berbahaya khususnya Covid-19.

Related posts

Leave a Comment