Ahli politik diminta muhasabah

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah juga mengulangi titah nasihat kepada ahli-ahli Parlimen supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

Mereka perlu memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, seperti yang dititahkan semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas.

Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, berkata Seri Paduka turut menegaskan bahawa ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.

Sebaliknya, titah Seri Paduka mereka perlu menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.   

“Mengambil keberkatan bersempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” katanya.

Related posts

Leave a Comment