Zahid menghadap esok

KUALA LUMPUR: Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melibatkan pemimpin DAP dan Amanah yang dijadualkan hari ini, 14 Oktober ditangguhkan sementara UMNO pula esok.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama berkata, Guan Eng dijadualkan menghadap Agong hari ini, manakala Mohamad pada Rabu, 21 Oktober.

Bagaimanapun menurut mereka, Setiausaha Sulit Kanan Agong memaklumkan semalam, sesi menghadap itu ditangguhkan.

“Kami menjunjung titah dan mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” kata mereka.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, mengesahkan Presiden UMNO, dijadual  menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 5 petang Khamis ini.

“Datuk Seri Zahid Hamidi dititahkan menghadap Seri Paduka Baginda pada hari Khamis, jam 5 petang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti di Ibu Pejabat UMNO, malam tadi.

Sebelum itu pagi Selasa, 13 Oktober, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hadir ke sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pada sidang media sebelah petang, Anwar mendakwa mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen, selain mendakwa Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti untuk input dan pengesahan dokumen, yang dipersembahkan Presiden PKR itu.

Related posts

Leave a Comment