Penjara catat 1,126 kes

MASYARAKAT di luar penjara diminta bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan adalah dalam kawasan larangan yang tertutup dan dikawal ketat, kata Ketua Pengarah Penjara, Zulkifli Omar.

Beliau meminta orang awam memberikan keyakinan penuh terhadap langkah-langkah segera yang diambil pihaknya di bawah kawal selia ketat daripada pihak Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

Semalam, 6 Oktober, daripada 688 kes penularan dalam negara, sebanyak 394 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar.

Menurut Zulkifli, setakat ini 1,126 kes aktif Covid-19 melibatkan banduan dan kakitangan penjara dicatatkan di seluruh negara di mana penularan dalam kalangan banduan bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baharu diterima dari Lahad Datu disahkan positif Covid-19 pada 2 September lepas.

“Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lepas dan Jabatan Penjara mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covid-19 di penjara itu, yang kini melibatkan jumlah terbesar dalam kalangan banduan di sebuah penjara,” katanya dalam kenyataan 6 Oktober.

Jabatan Penjara telah mengambil langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara.

Zulkifli berkata bagi memperketat SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidnat Negara yang diwartakan sebagai penjara sementara.

”Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment