Padam maklumat tidak tepat

MEDIA sosial bukan tempat untuk ‘meluahkan’ apa sahaja kritikan atau pandangan tanpa mengambil kira isi kandungannya yang tidak tepat serta boleh mengelirukan orang awam.

Tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang yang menghantar mesej berkenaan, sesuatu yang ‘terbabas’ atau tidak tepat perlu ‘dipadamkan’.

Ini terbukti apabila laman sosial Facebook bertindak memadam hantaran dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mendakwa wabak Covid-19 kurang berbahaya berbanding selesema.

Selain Facebook, ciapan Trump di Twitter juga ‘disembunyikan’ di sebalik satu amaran kerana dianggap “menyebarkan maklumat mengelirukan dan berpotensi merbahaya” berkaitan Covid-19.

“Musim selesema akan tiba! Ramai orang setiap tahun, kadang-kadang lebih 100,000, walaupun ada vaksin, mati akibat selesema.

“Apakah kita akan menutup negara kita? Tidak, kita kena belajar menghadapinya, sama seperti kita berdepan dengan COVID-19, di mana di kebanyakan populasi, ia jauh kurang berbahaya menyebabkan kematian,” katanya dalam ciapan pada Selasa, 6 Oktober.

Untuk membaca ciapan itu, pelayar Twitter perlu menekan butang amaran.

Trump kemudiannya bertindak menulis hantaran: “Mansuhkan seksyen 230!!!”, merujuk kepada peruntukan undang-undang yang menyatakan media sosial tidak bertanggungjawab ke atas posting dibuat pengguna.

Sebelum itu, Twitter dilaporkan memadam semua ciapan yang mendoakan kematian Trump dalam usaha menyekat salah guna media sosial sebagai medan mengkritik pemimpin negara itu.

Tindakan syarikat berpangkalan di San Francisco itu dibuat berikutan banyak mesej dan ciapan mendoakan kematian Presiden AS selepas beliau dilaporkan menerima rawatan di hospital akibat positif Covid-19 minggu lalu.

Twitter, dalam satu kenyataan, mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bahawa perbuatan mendoakan kematian sesiapa saja adalah tingkah laku tidak sopan.

Related posts

Leave a Comment