Pantau ketibaan dari Sabah

KEMENTERIAN Kesihatan menambah kakitangan di KLIA dan KLIA2 untuk melancarkan proses ujian saringan kepada semua pengembara dari Sabah yang tiba di Pintu Masuk Antarabangsa dan domestik.

Peraturan baharu itu bermula hari ini 27 September dan mereka dipakaikan gelang kuarantin dan diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO)

Bermula hari ini, sehingga 10 Oktober, semua individu yang baru tiba dari Sabah wajib menjalani  saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA).

Saringan itu dibuat kerana terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu terbabit.

Semua individu tersebut wajib memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di PMA negara dan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di PMA.

Mereka juga wajib menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dengan kesemua individu di PMA akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin.

Tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di PMA sehingga keputusan makmal diperoleh dan pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19. 

Bagi individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan perkhidmatab Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari berkenaan.

Bagi  individu yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, mereka perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19. 

Saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah ini dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.

Peningkatan kes dan kluster Covid-19 di Sabah masih berterusan dan empat daerah telah dikenal pasti sebagai zon merah setelah merekodkan bilangan kes melebihi 40 dalam tempoh 14 hari kebelakangan. 

Related posts

Leave a Comment