Spekulasi siapa KM Sabah

PELBAGAI kemungkinan boleh berlaku di Sabah selagi Ketua Menteri Sabah yang baharu tidak dilantik selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 semalam. 

Semua pemimpin utama parti GRS telah pun mengadakan pertemuan selama lebih sejam dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin

Mereka adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Noor, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah Jahid Jahim.

Yang Dipertua Negeri bagaimanapun meminta tempoh bagi menentukan siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Situasi ini rumit apabila masing-masing mahu membuat ‘tuntutan’ disebabkan tidak ada parti yang menang selesa dan meyakinkan bagi pembentukan sebuah kerajaan yang stabil. Tidak ada parti yang boleh bersendirian bagi membentuk kerajaan.

GRS memperoleh 38 kerusi, kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi sekarang.

Berikutan penangguhan pengumuman dan dakwaan tidak ada kesepakatan dalam kalangan parti GRS mengenai siapa ketua menteri, pelbagai spekulasi timbul termasuk kemungkinan isu lompat melompat seperti pernah berlaku pada PRU lalu.

Malahan ada yang berkata, Shafie Apdal akan kembali menjadi ketua menteri berikutan persefahaman dengan PN.

Turut tular mengenai kemungkinan PBS yang memenangi tujuh kerusi akan mengalihkan sokongan kepada Warisan bagi membolehkan Shafie kekal sebagai Ketua Menteri.

Berbekalkan tujuh kerusi, PBS berupaya menjadi penentu kuasa dan menyaksikan mana-mana gabungan parti politik yang disertainya boleh membentuk kerajaan.

GRS akan hanya memiliki 31 kerusi jika PBS keluar daripada gabungan manakala Warisan Plus, yang mempunyai 32 kerusi, akan menguasai 39 kerusi.

Bagaimanapun Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai menafikan bahawa parti itu akan bergabung bersama Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

“PBS, sebagai rakan setara dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal teguh dengan sekutunya – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan.

Joniston juga memberitahu bahawa PBS turut menafikan parti itu telah mula membuat tuntutan dalam kabinet kerajaan baharu yang akan dibentuk kerana setakat hari ini perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Joniston mengekalkan kerusi DUN Kiulu selepas mengalahkan presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau dan empat lagi calon dalam pertandingan enam penjuru.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, PKR, UPKO dan Amanah, gagal mempertahankan tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas menang 32 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri ke-16 kali ini.

Diharapkan tidak berulang lagi lompat melompat yang akhirnya menyebabkan parti yang menang kehilangan peluang.

Related posts

Leave a Comment