Dua kluster baharu Sabah, 1 KL

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu iaitu  Kluster Buang Sayang dan Kluster Kg Sakong di Sabah dan Kluster Setapak di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan  Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Buang Sayang dikesan di Sipitang, Sabah, dengan kes indeks (kes ke-10265) mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang dari 7 hingga 20 September .

Kes mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 September dan kemudiannya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Saringan Covid-19 didapati positif pada 20 September dan kes  dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.  

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan di mana seramai 10 individu telah disaring sehingga hari ini dengan empat kes dikesan positif, manakala enam individu masih menunggu keputusan.

Kluster Kg Sakong pula dikesan di Semporna, Sabah, dengan kes indeks (kes ke-10154) dikesan positif pada 18 September melalui saringan komuniti. Kes adalah tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.  

Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kluster ini juga dijalankan iaitu seramai 66 individu disaring sehingga hari ini 27 September dengan sembilan kes dikesan positif, manakala 57 lagi menunggu keputusan. 

Mengenai kluster Setapak,  kes indeks (kes ke-10689) mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 hingga 20 September .

Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 Sept dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 September di mana saringan Covid-19 didapati positif pada hari yang sama, seterusnya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10770) dan rakan (iaitu kes ke-10771) kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan dan seramai 20 individu disaring sehingga hari ini dengan tiga kes dikesan positif, 16 negatif, manakala seorang lagi masih menunggu keputusan.

Katanya, langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi yang telah dikenal pasti bagi ketiga-tiga kluster baharu ini.  

Related posts

Leave a Comment