PUTRAJAYA : Kes baharu Covid-19 kembali mencatat tiga angka iaitu 150 kes, dengan satu kematian direkod dalam tempoh 24 jam lepas, kataKetua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes baharu merangkumi 146 kes tempatan terdiri daripada 124 warga Malaysia, manakala 22 kes lagi bukan warganegara.
Sabah terus merupakan negeri yang mencatat kes iaitu 124 kes; diikuti Selangor 10 ; empat di Pahang; tiga di Kuala Lumpur; dua di Johor dan Sarawak; manakala satu di Melaka.
Di Sabah, 58 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) melibatkan 55 warganegara dan tiga bukan warganegara, 20 kes Kluster Bangau-Bangau melibatkan 12 warganegara dan lapan bukan warganegara;
Sejumlah 13 kes daripada Kluster Bakau melibatkan empat warganegara dan sembilan bukan warganegara manakala 10 kes daripada Kluster Pulau, melibatkan sembilan warganegara dan satu bukan warganegara.
Selain itu, tiga kes di Pahang, dua di Johor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Melaka melibatkan kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah.
Dengan jumlah kes baharu itu, menjadikan kes terkumpul Covid-19 di negara ini kini 10,919 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 950 kes.
Bagi empat kes import yang dilaporkan, tiga daripadanya adalah individu pulang dari Arab Saudi (dua kes di Kuala Lumpur dan satu di Selangor) manakala satu kes pulang dari India (dilaporkan di Kuala Lumpur melibatkan warga tempatan).
Satu kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 negara ialah 134 kes (1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Kes kematian ke-134 (iaitu kes ke-10,491) merupakan wanita warga Malaysia berumur 81 tahun. Beliau mengalami gejala demam dan batuk berkahak pada 14 September dan dibawa ke Hospital Semporna pada 17 September .
“Saringan didapati positif pada 22 September . Pada 26 September, kes dipindahkan ke Hospital Tawau, Sabah. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama dan disahkan meninggal dunia pada 27 September pukul 12.52 pagi.
Sementara itu, 50 kes pulih dilaporkan , manakala enam kes positif sedang dirawat di ICU dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.