SEPANG 12 Okt. – Situasi yang berlaku di Palestin kini amat melampau dan ia bukan sahaja penghinaan terhadap umat Islam di seluruh dunia tetapi juga menghina nilai kemanusiaan, kata bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein.
“Kita mesti jelas, apa yang berlaku tidak lain tidak bukan merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook, semalam.
Pada masa yang sama, beliau berkata tindakan sesetengah negara yang membela Israel menyerang rakyat Palestin dengan alasan mahu mempertahankan diri adalah satu penghinaan kepada negara itu.
“Adalah satu penghinaan apabila sesetengah negara bercakap mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi tiada satu pun perkataan keluar mengenai rakyat Palestin ketika merekalah yang terus disembelih dan merekalah yang dijajah lebih 50 tahun.
“Kebenarannya, rakyat Palestin ialah mangsa di sini. Tiada orang lain lebih derita dibanding dengan rakyat Palestin akibat tindakan kurang ajar Israel,” katanya.
Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO, berkata, banyak rumah dimusnahkan, angka kematian meningkat dan rakyat Palestin dalam keadaan sangat derita.
“Kita mesti terus berusaha demi kebebasan, kemerdekaan dan keadilan buat saudara mara kita yang ditindas di Palestin. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita dan semoga kebebasan dan keamanan menjadi milik saudara mara kita di Palestin, insya-Allah,” katanya.
