275 hilang wang deposit

SERAMAI 275 daripada 447 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah  hilang wang deposit apabila gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira. 

Seramai 172 calon lain kalah tetapi tidak hilang deposit. 

DUN Bengkoka yang menyaksikan pertandingan 11 penjuru adalah kawasan paling ramai calon yang hilang deposit apabila lapan calon memperoleh kurang daripada satu per lapan daripada undian keseluruhan.

Calon yang hilang deposit ialah Jose Modsinupu (Parti Cinta Sabah (PCS)), Samuil Mopun (Parti Bersatu Sabah(PBS)), Sotijin Juhui (Parti  Gagasan  Rakyat Sabah(Gagasan)), Rita Cham (Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)), Omar Jalun (Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)) serta tiga calon Bebas iaitu Pransol Tiying, Mary E. Dumpangol@Aminah Ambros, Akian Ah Kiew. 

Manakala, dua pemimpin utama Parti Liberal Demokratik (LDP) iaitu Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Chong Kah Kiat dan Presidennya Chin Su Phin turut hilang deposit masing-masing di DUN Inanam dan Api-Api. 

Chong kecundang dalam pertandingan 10 penjuru yang menyaksikan enam lagi calon lain yang bertanding di kerusi berkenaan hilang wang pertaruhan iaitu Terence Tsen Kim Katt (Parti Kerjasama Anak Negeri), Mohd Hardy Abdullah @ Zoro Yukon (USNO), Regina Lim @ How (PCS), Goh Fah Shun (Gagasan) dan dua calon Bebas iaitu Ngui Kuang Kee @George Ngui dan Achmad Noorasyrull Noortaip. 

DUN Api-Api, yang menyaksikan pertandingan sembilan penjuru, enam calon lain selain Chin hilang wang deposit iaitu Lo Yau Foh (PPRS), Chong Tze Kiun (Gagasan), Pang Yuk Ming (PCS)  dan tiga calon Bebas iaitu Marcel Jude dan Sim Sie Hong  dan Ng Chun Sua. 

Di DUN Luyang, lima orang hilang wang deposit dalam pertandingan enam penjuru, begitu juga di DUN Kukusan, lima calon hilang wang deposit.

Related posts

Leave a Comment