Zahid perlu beri penjelasan

“DALAM kehidupan, jika kita meletak akhirat di depan, pasti dunia akan menyusul sama. Jika kita letak dunia di hadapan, belum pasti akhirat akan turut serta.

“Begitu juga dalam perjuangan. Jika kita letak perjuangan itu di depan, pasti segala apa halangan dan rintangan kita akan dapat selesaikan.

“Tapi jika jika letak kepentingan diri sendiri itu di hadapan, maka kita sentiasa tidak akan jumpa jalan keluarnya.

“Begitu juga sekarang. Jika kita letak perjuangan di depan dan faham akan asas terbentuknya gabungan Kerajaan ini, pasti kita akan jumpa jalan keluar dan kerajaan Melayu Islam yang kita tunjangi ini akan jadi lebih baik dan dihormati,” katanya

Begitulah pesanan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Zakaria Dullah kepada para pemimpin UMNO, parti Melayu terbesar di negara ini.

Pesanan itu terkandung dalam kenyataanya berhubung kemelut berkaitan ‘kejatuhan’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti dakwaan Anwar Ibrahim yang turut mengheret sokongan dalam kalangan wakil rakyat UMNO seperti disebut oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam hal ini, beliau menuntut Ahmad Zahid memberi penjelasan kepada pimpinan tertinggi parti serta ahli berkenaan sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Anwar kerana ahli-ahli UMNO ingin mengetahui kenapa keputusan tersebut dibuat.

Menurut beliau, pernyataan sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu dilihat bertentangan dengan janji sebelum ini yang mengizinkan Ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin.

“Penjelasan begini diperlukan bagi meredakan segala keraguan. Berbalik kepada kenyataan Pas, mereka juga ada asas untuk mengetahui apa maksud sebenar kenyataan Presiden UMNO itu.

Penjelasan perlu disebabkan asas pembentukan Muafakat Nasional itu dahulu mengambil kira soal agama, bangsa dan tanah air.

“Suka atau tidak, kerajaan ini perlu disokong sehingga pembubaran Parlimen berlaku satu masa nanti.

“Apa nak jadi lepas itu, kita bincang kemudian,” katanya.

Beliau berkata, tiba masa untuk parti Melayu Islam menunjukkan mereka mampu bersepakat dan bersatu bukan sahaja dalam menguruskan negara dan rakyat, tetapi turut dihormati dunia.

Related posts

Leave a Comment