Fasa peralihan monsun

FASA peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September 2020 dan berterusan sehingga awal November 2020. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 18 Mei 2020.

Dalam tempoh ini, langit biasanya cerah pada waktu pagi dan kawasan di rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai hala yang kondusif untuk pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang.

Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri- negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Ribut petir menyumbangkan jumlah hujan bulanan yang tinggi terutamanya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

Walau bagaimanapun, taburan hujan di semua negeri dijangka berada pada paras purata pada sepanjang tempoh peralihan monsun ini.

Orang ramai disaran supaya mengelak daripada berada di kawasan lapang dan menjauhi struktur yang tidak kukuh serta tidak menyentuh objek besi, barang atau kabel elektrik semasa berlakunya ribut petir.

Maklumat dan ramalan cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial, RakanMET dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia.

Sumber:

Ketua Pengarah

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)

Related posts

Leave a Comment