PKPD dua kampung di Kota Belud

KUALA LUMPUR 25 Mac –  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula esok sehingga 8 April depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.

Sehingga kini, sebanyak 89 ujian saringan dilaksanakan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu, seramai sembilan orang didapati positif Covid-19 manakala sebanyak 77 ujian saringan pula dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu di mana tujuh kes positif dilaporkan di lokaliti ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Ismail Sabri juga mengumumkan penamatan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah seperti yang dijadualkan esok.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 821 ujian saringan dilaksanakan di lokaliti itu dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 140 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Mengenai kes ingkar PKP, beliau berkata seramai 41 individu ditahan semalam dan daripada jumlah itu, 28 orang telah dikompaun manakala bakinya direman.

Ismail Sabri berkata kesalahan yang direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (24 kes), tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (lima), tiada penjarakan fizikal (dua) dan kesalahan lain sebanyak tiga kes.

Beliau berkata Operasi Benteng pula berjaya menahan sembilan pendatang tanpa izin dan dua kenderaan dirampas.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 96 buah bot atau kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan dan pada masa sama, seramai enam pendatang turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran.

Related posts

Leave a Comment