Lima lagi kerbau mati

LIMA lagi kerbau milik keluarga Muhammad Syukur di Kampung Banggol Katong mati pagi ini manakala enam dikesan mempunyai simptom yang agak kritikal.

Lebih menyedihkan ada anak kerbau yang baru berusia sebulan masih menyusu dari ibunya yang sudah mati.

Bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, berkata pihaknya buntu bagaimana hendak mengasingkan kerbau yang masih sihat seperti disarankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Katanya sukar untuk dikuarantin kerana kekangan tempat dan masa.

Beliau amat berharap kerbau yang masih sihat ini boleh diselamatkan dengan kepakaran dan kemahiran JPV, tetapi reda dengan takdir Allah.

Semalam sebanyak 36 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ atau ‘Kampong Boy’ itu, mati secara berperingkat sejak Rabu lepas dipercayai akibat penyakit hawar berdarah.

Sementara itu, JPV Terengganu mengisytiharkan kandang kerbau itu sebagai kawasan larangan kepada orang ramai.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata langkah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang hanya membenarkan pemilik kandang memasuki kawasan tersebut, bagi mengelak jangkitan penyakit hawar berdarah ke kawasan lain.

Related posts

Leave a Comment