Kadar asal elaun dikembalikan

KERAJAAN Negeri Selangor mengembalikan semula kadar elaun petugas masjid dan surau seperti yang diberikan sebelum ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Kerajaan Negeri akan menanggung pelarasan tersebut dengan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas tular mengenai pemotongan elaun petugas masjid dan surau di negeri itu.

Katanya, pagi ini, beliau menerima taklimat daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berhubung pelarasan elaun berkenaan yang sedang ditularkan.

Menurut beliau, elaun tambahan petugas masjid yang dibayar bermula tahun 2003 adalah dari hasil kutipan zakat oleh LZS setiap tahun.

“Namun kesan pandemik Covid-19, kutipan zakat mencatatkan penurunan drastik hampir 20 peratus menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat, yang mengambilkira keperluan menyalurkan hasil kutipan zakat ini kepada golongan asnaf yang dihimpit kesan pelaksanaan PKP dan sebagainya,” katanya.

Amirudin berkata, berdasarkan penjelasan tersebut dan mengambil maklum keperluan para petugas masjid dan surau seluruh Selangor, Kerajaan Negeri mengambil keputusan kadar elaun dikembalikan semula kepada kadar sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment