23 kes: 13 tempatan, 10 import

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 23 lagi kes baharu positif Covid-19 sehingga 12 tengah hari ini,  Selasa 15 September yang melibatkan 13 kes jangkitan dalam negara dan 10 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,969 kes di mana jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 632 kes.

Daripada 13 penularan dalam negara, lapan kes dilaporkan dalam Kluster Baharu iaitu Kluster Pulau di Sabah, empat kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

Manakala satu kes melibatkan seorang pesakit yang dirujuk di Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

“Sehingga kini, terdapat 14 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan dengan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal sebanyak 128 kes bersamaan 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, jumlah kes positif Kluster Benteng Lahad Datu (LD) kini adalah sebanyak 424 kes.

Katanya, sehingga pukul 12 tengah hari 15 September 2020 , sejumlah 6,610 individu telah disaring dalam kluster ini.

Di Tawau pula, seramai 5,079 individu telah disaring dengan 331 kes dikesan positif, 2,352 individu negatif dan 2,396 individu masih menunggu keputusan.

Related posts

Leave a Comment