Pokok dan kunci jadi pilihan

MELIHAT pokok dan kunci yang menjadi simbol pilihan calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, teringat simbol sama yang pernah digunakan oleh Shahril Samad semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor Bahru pada 1988. Beliau menang mengalahkan calon Barisan Nasional (BN).

Pokok pula baru-baru ini digunakan oleh Amir Khusyairi Mohamad Tanusi calon Bebas yang mewakili Pejuang pimpinan Dr. Mahathir Mohamad semasa PRK DUN Slim di Perak pada 29 Ogos lalu. Beliau kalah kepada calon BN.

Semalam, 12 September, semasa hari penamaan calon pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Sabah pada 26 September ini, kunci dan pokok turut menjadi pilihan 14 daripada 56 calon Bebas yang bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menetapkan 30 logo boleh digunakan oleh calon Bebas bagi mewakili diri mereka bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Antara calon Bebas yang menggunakan simbol pokok adalah komposer dan penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Anak Kampung’, Jimmy Palikat yang bertanding kerusi Tambunan, Saddi Abdul Rahman (Sukau) dan Juhuran Kalmin (Sebatik).

Mereka yang memilih simbol kunci pula adalah Kenny Chua yang bertanding di Inanam; Rasidan Abd Latiff (Bugaya) dan Masiung Banah (Kuamut).

Simbol kerusi, buku, jam, ikan, traktor, gajah,manggis, perahu, rumah, kuda, telefon dan pen juga menjadi pilihan calon Bebas sebagai lambang masing-masing.

Dari segi jumlah calon Bebas paling ramai bertanding, kerusi Bengkoka menyaksikan empat calon diikuti Inanam, Api-Api dan Matunggong yang masing-masing mempunyai tiga calon Bebas.

Sementara itu sebanyak RM3.576 juta deposit dibayar oleh 447 calon yang bertanding di 73 kerusi.

Jumlah deposit itu adalah berdasarkan kepada syarat ditetapkan undang-undang pilihan raya yang bertanding kerusi DUN iaitu RM5,000 sebagai deposit pilihan raya dan RM3,000 lagi untuk deposit bahan kempen.

Deposit pilihan raya boleh dituntut selepas keputusan pilihan raya diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus jika calon memperoleh lebih daripada 1/8 daripada jumlah undi diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Deposit bahan kempen pula boleh dituntut selepas semua bahan kempen dibersihkan oleh calon terbabit dan disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

Related posts

Leave a Comment