10,000 masih dikuarantin

SETAKAT semalam, 12 September, seramai 28,063 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari 32 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 17,807 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mereka yang terbabit pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Mengenai pematuhan SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Ismail Sabri memberitahu kesalahan membabitkan aktiviti di pub dan kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan tertinggi semalam dengan 294 kes direkodkan.

Beliau berkata mereka merupakan antara 512 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara kesalahan lain ialah penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), ‘private party’ atau pesta persendirian (56), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14) dan premis beroperasi lebih masa (8).

Daripada jumlah yang ditahan, 452 individu dikompaun, 59 individu direman dan seorang dijamin.

Bagi Operasi Benteng, beliau berkata pihak berkuasa berjaya menangkap 80 pendatang tanpa izin, enam penyeludup dan seorang tekong melibatkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (57), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (15),” katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau berkata bagi tempoh 30 Mac lepas hingga semalam, sebanyak 9,930 operasi dijalankan di 134 zon dengan 12,988 premis antaranya pusat perniagaan, bangunan kerajaan dan tempat awam telah disanitasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperoleh.

Related posts

Leave a Comment