PUTRAJAYA: Kerajaan mewartakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran ke atas Kota Setar, Kedah dan Penjara Tawau, Sabah ekoran peningkatan kes di kedua-dua lokasi berkenaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini akan dikuatkuasakan mulai 11 September pukul 12.01 tengah malam hingga 25 September 2020 sebagai sebahagian dari langkah pencegahan penularan Covid-19.
Katanya, semua aktiviti keluar atau masuk ke daerah berkenaan dilarang bagi tempoh berkenaan.
PKPD secara pentadbiran di Kota Setar ini melibatkan 366,787 penduduk di 28 mukim di daerah Kota Setar.
Bagi Penjara Tawau akan melibatkan banduan serta anggota dan ahli keluarga jabatan itu.
Segala aktiviti keluar masuk daerah adalah dilarang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk daerah.
Ismail memberitahu, keluar masuk sempadan negara melalui Bukit Kayu Hitam juga dihentikan sehingga tamat PKPD.
Katanya, individu yang keluar masuk atas alasan bekerja juga adalah tidak dibenarkan dari kawasan PKPD itu.
Beliau berharap majikan mengambil maklum perintah ini yang bukan atas kehendak pekerja tetapi atas perintah kerajaan yang menyebabkan mereka tidak bekerja.
“Justeru saya harap tidak ada tindakan diambil ke atas pekerja-pekerja yang tidak bekerja, kalau boleh kita galakkan majikan untuk meminta pekerja mereka membuat kerja dari rumah,” jelasnya.
Ismail menambah, semua rumah ibadat termasuk masjid diarah tutup pada tempoh tersebut manakala semua intitusi pendidikan termasuk Taska, sekolah dan institusi pengajian tinggi juga ditangguh ketika pelaksanaan PKPD itu.