KOTA KINABALU: Dua bekas menteri yang juga ahli Parlimen turut dicalonkan bagi mewakili Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Mereka ialah Ahli Parlimen Penampang, Darrel Leiking dicalonkan bagi kerusi (N26) Moyog manakala Ahli Parlimen Lahad Datu, Mohamaddin Ketapi bagi kerusi (N61) Segama.
Presiden Parti Warisan, Mohd Shafie Apdal mengumumkan 53 senarai calon yang menggunakan logo Warisan iaitu dari DAP dan Amanah.
Dari jumlah tersebut 45 kerusi ditandingi Warisan, tujuh bagi DAP dan satu kerusi bagi Amanah.
Sementara itu bagi kerusi yang ditandingi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu UPKO, Presidennya Wilfred Madius Tangau mengumumkan 12 kerusi yang ditandingi parti itu.
Madius yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah dicalonkan bagi kerusi N15 Kiulu.