TOKYO – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) merekodkan satu gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.9 yang menggegarkan perairan timur laut Jepun pada Khamis, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa tersebut berpusat di luar pesisir wilayah Iwate pada kedalaman kira-kira 50 kilometer, dengan hanya perubahan kecil paras laut dijangka berlaku.
Gempa itu mencetuskan gegaran kuat di wilayah Aomori, yang mencatatkan tahap intensiti 6-atas pada skala seismik Jepun (0 hingga 7), satu tahap di mana individu biasanya sukar untuk berdiri atau bergerak tanpa merangkak.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan lain termasuk ibu negara Tokyo, walaupun pada tahap yang lebih ringan.
Tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan besar akibat gempa tersebut sementara syarikat utiliti Tohoku Electric Power memaklumkan tiada sebarang kejanggalan dikesan di loji nuklear Onagawa dan Higashidori, yang menjadi antara kemudahan kritikal di kawasan terjejas.
Sementara itu syarikat East Japan Railway mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghentikan sementara beberapa perkhidmatan kereta api, termasuk tren laju Tohoku Shinkansen, bagi memastikan keselamatan penumpang.
Perkhidmatan dijangka disambung semula selepas pemeriksaan keselamatan terhadap landasan dan infrastruktur selesai dijalankan.
