9.5 juta lengkap dua dos

PUTRAJAYA 12 Ogos – Seramai 40.7 peratus atau 9,516,141 daripada keseluruhan penduduk dewasa di negara ini sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, setakat semalam.

Bagi tempoh yang sama, seramai 16,347,422 yang mewakili 69.8 peratus penduduk dewasa direkodkan menerima sekurang-kurangnya satu dos pelalian berkenaan.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menjelaskan, kejayaan itu dicapai menerusi pemberian sebanyak 497,352 dos vaksin Covid-19, semalam.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara meningkat kepada 25,863,563 dos, membabitkan 227,506 dos pertama, manakala 269,846 dos kedua.

Sementara itu Labuan kekal di tangga teratas apabila 59.9 peratus penduduk sudah lengkap divaksinasi, manakala 67.2 peratus pula adalah penerima dos pertama.

Ini disusuli Sarawak yang merekodkan 55.7 peratus rakyat sudah lengkap divaksinasi, manakala 63.6 peratus adalah penerima dos pertama vaksin Covid-19.

Lembah Klang pula menduduki tangga ketiga carta pemberian vaksin apabila 42.4 peratus populasi sudah lengkap vaksinasi, manakala 75.1 peratus adalah penerima dos pertama.

Related posts

Leave a Comment