Bekas ADUN PKR kini Bersatu

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Lunas dan Sidam – yang merupakan ADUN Bebas selepas meninggalkan PKR hari ini mengisytiharkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) mengumumkan pendirian mereka pada majlis makan malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) malam tadi.

Pada majlis itu, Azman turut menyerahkan borang keahlian Bersatu bagi pihak PKN negeri kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, dan disaksikan bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, yang pada 22 Ogos mengumumkan secara rasmi menganggotai Bersatu.

Pada 12 Mei, Azman dan Ling mengumumkan keluar daripada PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Azman, yang juga Pengerusi PKN Kedah, berkata lebih ramai ahli PKN negeri dan bukan Melayu akan menyertai Bersatu susulan pengumuman Muhyiddin yang juga presiden parti untuk mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera bersama-sama dalam Bersatu.

Related posts

Leave a Comment