Kluster Tawar, Sivagangga sumber sama?

PUTRAJAYA :Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga berkemungkinan besar daripada sumber yang sama selepas hasil ujian makmal mendapati Kluster Tawar mempunyai mutasi D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil ujian 14 sampel yang diambil bagi tujuan full genome sequencing mendapati sebahagiannya terdapat mutasi D614G.

Sebanyak 14 sampel telah diambil bagi tujuan full genome sequencing dan sebanyak empat sampel mendapat virus untuk kajian sequencing ini. Didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

Virus Kluster Tawar ini (empat sampel) telah dibandingkan dengan virus daripada Kluster PUI Sivagangga (tiga sampel).

“Hasil menunjukkan ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada kumpulan yang sama. Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga adalah kemungkinan besar daripada sumber yang sama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memberitahu , R-Nought (R0) tertinggi yang direkodkan di negara ini adalah 1.37 pada 22 Julai 2020 dan yang terendah pula 0.58 pada 4 Ogos 2020.

Namun, selepas 4 Ogos, kluster-kluster baharu mula dilaporkan di negara ini termasuklah Kluster Tawar menyebabkan R0 telah meningkat.

Pada 26 Ogos 2020, R0 yang dilaporkaan adalah 0.74 dan jumlah itu perlu diturunkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini.

Kementerian sentiasa berusaha untuk mengurangkan R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan.

Ia membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.Oleh itu, masyarakat diminta untuk terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

R0 merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes itu.

Related posts

Leave a Comment