Kluster Tawar, kes aktif

SETAKAT 26 Ogos 2020, Kluster Tawar adalah kes aktif yang paling tinggi dan diberi tumpuan di mana sebanyak 73 kes positif Covid-19  telah direkodkan sejak kluster ini dikesan pada 12 Ogos lalu.

Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang lelaki warganegara yang merupakan pembekal makanan ringan dan penjual besi buruk.

Dia dikesan positif ketika menjalani saringan selepas bergejala di sebuah hospital swasta di Sungai Petani dan sehingga kini, punca jangkitan masih dalam siasatan.

Daripada 73 kes, enam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan setakat ini, kluster tersebut tidak melaporkan kematian.

Kluster ini merebak di empat daerah di Kedah  dengan Kuala Muda paling tinggi 26 kes, Baling (20), Kulim (15) dan Sik (1 kes). Kluster ini juga dikesan di Pulau Pinang melibatkan Timur Laut (6), Barat Daya (4) dan Seberang Prai Utara (1 kes).

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyaki kluster ini melibatkan strain mutasi D614G tetapi pengesahan hanya boleh dibuat selepas ujian makmal.

Ujian ini memakan masa kerana virus itu perlu diasingkan dan dikultur (dibiak) sebelum ujian dilakukan.

Sebelum ini, KKM telah mengesan strain mutasi D614G dalam tiga kes dari Kluster PUI Sivagangga yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks serta satu kes dari Kluster Bukit Tiram yang merupakan warga Filipina. Kluster Bukit Tiram telah diisytiharkan tamat 26 Ogos.

Media antarabangsa, South China Morning Post (SCMP) pernah melaporkan hanya dua negara di Asia yang mengesan strain mutasi D614G iaitu Malaysia dan Filipina.

Strain mutasi ini dikatakan berasal dari Eropah dan merebak sehingga menjadi ‘super spreader’ di Pakistan dan India. Namun, kekuatan strain (virulence) dikatakan sama seperti strain biasa tetapi ia cepat merebak dan tinggi ‘viral load’.

[Petikan FB KKM)

Related posts

Leave a Comment