PUTRAJAYA : Lima murid sekolah rendah, empat orang berusia 12 tahun dan seorang berusia sembilan tahun disahkan positif Covid-19 berkaitan Kluster Tawar di Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka dikesan melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster tersebut.
Hasil siasatan mendapati murid berkenaan ialah kontak rapat kepada kes ke-9,197 iaitu seorang murid prasekolah yang kesnya dilaporkan pada 16 Ogos lepas.
Bercakap pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini, kanak-kanak tersebut merupakan generasi ketiga Kluster Tawar dan dijangkiti daripada ibu bapa (murid prasekolah) sebelum menjangkiti rakan-rakan di sekolah.
KKM masih menjalankan siasatan bagaimana murid berkenaan terdedah kepada Covid-19 dan sekolah terbabit telah ditutup buat sementara waktu.
Setakat pukul 12 tengah hari, 3,547 individu disaring dalam Kluster Tawar. Seramai 70 individu dikesan positif termasuk enam dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga pukul 12 tengah hari, 25 Ogos, sebanyak 11 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah positif kes Covid-19 sebanyak 9,285 kes.
Dua kes import melibatkan seorang warga tempatan dan seorang lagi bukan warganegara.
Daripada sembilan kes jangkitan tempatan, lima kes adalah daripada Kluster Tawar.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 189 kes dan mereka telah diasing dan diberi rawatan di hospital.
Beliau berkata, sebanyak enam kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 8,971 kes bersamaan 96.6 peratus daripada keseluruhan kes.
Tambah Dr Noor Hisham, setakat ini lapan pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam pesakit memerlukan bantuan pernafasan.