GELOMBANG baharu penularan Covid-19 seperti berlaku di beberapa negara boleh berlaku di Malaysia jika masyarakat leka dan memandang remeh situasi di Malaysia.
Kawalan sempadan perlu terus dipertingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti Covid-19.
Sejak 3 April 2020 sehingga 23 Ogos 2020, seramai 104,188 rakyat dan pemastautin tetap telah disaring, di mana 103,289 dikuarantinkan.
Kes positif Covid-19 yang dikesan pula adalah sebanyak 899 kes di mana mereka telah diasingkan dan dirawat di hospital.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan (Facebook) berkata, pematuhan kepada undang-undang dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan amatlah penting.
Semua petugas barisan hadapan perlu terus patuh kepada rangka kerja, panduan amalan dan tatacara pengurusan kes di lapangan.
Sekiranya menghadapi sebarang cabaran, kerumitan, mahupun halangan dalam menjalankan tugas, pihak atasan perlu dimaklumkan segera agar ianya dapat dirungkai dan diselesaikan.
Ini adalah penting untuk memastikan undang-undang serta SOP dipatuhi, dan petugas barisan hadapan adalah terlindung daripada jangkitan penyakit serta sebarang cabaran dalam melaksanakan tugasan di lapangan.
Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah amat penting untuk digunakan bagi memutuskan penularan COVID-19. Ketidakpatuhan terhadap Akta ini akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan dan penularan penyakit.
Justeru semua petugas perlu patuh kepada panduan amalan dalam pelaksanaan tugasan dan orang ramai terus patuh kepada peraturan serta SOP.
KKM berkata, masyarakat memainkan peranan yang amat penting dengan mematuhi sepenuhnya Akta ini dan segala SOP yang ditetapkan.
Hanya dengan kepatuhan seratus peratus terhadap Akta ini, kita dapat bersatu dalam peperangan terhadap musuh kita yang sama ini, iaitu Covid-19.