Pak Wan kecundang lagi

PAK WAN tewas lagi. Jika sebelum ini di peringkat bahagian, kali ini peringkat pusat. Begitulah nasib Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof atau Pak Wan yang gagal mendapat tempat dalam barisan kepemimpinan baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Bersatu Melaka itu tewas dalam saingan merebut salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden dalam pemilihan yang berlangsung hari ini, 23 Ogos 2020.

Pada Februari lalu semasa pemilihan Ketua Bahagian Masjid Tanah, beliau yang ketika itu sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi gagal mempertahankan jawatan selepas tewas kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Hari ini beliau kalah pula untuk jawatan nombor 3 parti dan salah seorang calon yang menang adalah timbalannya di peringkat negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Dalam satu kenyataan, Bersatu mengumumkan tiga naib presidennya yang baharu , iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dan Menteri Pendidikan Radzi Jidin, serta Mohd Rafiq Naizamohideen.

Jawatan pengerusi PPBM tidak dipertandingkan selepas bekas pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad terbatal keahlian beliau sebelum ini.

Jawatan presiden dimenangi tanpa bertanding oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan timbalannya disandang oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, juga tanpa bertanding.

Redzuan merupakan seorang daripada 16 calon yang bertanding merebut jawatan naib presiden. Turut tewas ialah pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Redzuan adalah antara ahli awal Bersatu dan merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Bagi 20 jawatan ahli MPT pula, terdapat muka-muka baharu dipilih, termasuk Menteri Ekonomi, Mustapha Mohamed; Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kerjaraya, Eddin Syazlee Shith; Timbalan Menteri Undang-Undang, Shabuddin Yahya;Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid dan bekas menteri besar Johor Dr Sahruddin Jamal.

Turut diumum sebagai pemenang jawatan ahli MPT ialah Abdul Hakim Gulam Hassan, Zainol Fadzi Paharudin, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Razali Idris, Wan Saiful Wan Jan, Azlinda Abdul Latif, Taufik Yaacob, Rafiq Abdullah, Lajim Ukin, Suhaili Abdul Rahman, Mohamed Farid Mohamed Zawawi, Zulkifli Zakaria, Yazid Yunus dan Shamsilah Siru.

Jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap pula masing-masing dimenangi oleh Mohd Suhaimi Abdullah dan Hisham Suboh.

Pemilihan diadakan secara serentak semalam melibatkan 23,438 perwakilan yang mengundi dalam persidangan bahagian.

Daripada 179 bahagian PPBM, 177 daripadanya berjaya menjalankan persidangan, sementara 2 gagal

Related posts

Leave a Comment