Satu kes baharu Brunei

SATU kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan di BRUNEI DARUSSALAM hari ini, kes 143 yang melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun yang tiba dari Timur Tengah dengan penerbngan Royal Brunei melalui Kuala Lumpur pada 12 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Md. Isham Jaafar berkata, kes itu dikesan melalui program saringan ujian swab bagi sesiapa yang tiba di negara itu dari luar negara.

Bercakap dalam satu sidang media di Bandar Seri Begawan hari ini, beliau berkata, pesakit tanpa tanda-tanda jangkitan itu ketika ini sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti 42 orang kontak di mana 34 yang menjalani ujian telah disahkan negatif manakala selebihnya sedang menunggu hasil keputusan ujian. Kesemua kontak sedang menjalani proses kuarantin.

Sementara itu kes 142 yang dilaporkan pada 7 Ogos lalu (pertama selepas tiga bulan tanpa kes) telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Pusat Pengasingan Kebangsaan pada 17 Ogos lalu.

Kes melibatkan seorang pelajar lelaki yang pulang dari Yemen pada 5 Ogos lalu dengan penerbangan Royal Brunei melalui Kuala Lumpur.

Di samping itu seramai 639 orang sedang menjalani proses pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan. Sejak Mac lalu, seramai 4,366 orang menjalani proses itu.

Secara keseluruhan, Brunei Darussalam setakat ini merekodkan tiga kematian dan 139 sembuh.

Related posts

Leave a Comment