Sambutan Ma’al Hijrah 1442H

TEMA sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M adalah Ummah Rabbani Negara Harmoni’.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Paimuzi Yahya berkata tema itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama yang telah pun dicontohkan di zaman Nabi Muhamad SAW.

“Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan merupakan tunjang dalam kebanyakan pelan-pelan yang dibangunkan oleh kerajaan.

“Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid Syariah dan perkara ini turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan,” katanya.

Majlis sambutan akan berlangsung di Masjid Negara Kuala Lumpur petang ini, 19 Ogos 2020.

Kemuncak sambutan majlis itu ialah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M yang disampaikan kepada seorang tokoh ilmuan profesional tersohor di tanah air pada masa kini serta kepada seorang tokoh antarabangsa yang terkenal.

Penganugerahan gelaran itu berdasarkan kriteria pengetahuan dan pengalaman yang luas yang ada pada calon, selain mempunyai sifat dan peribadi yang unggul.

Tokoh yang dipilih juga seorang yang pakar dalam bidang yang diceburi serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam dan pembangunan ummah selain  mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Related posts

Leave a Comment