CAKE saman RM1.5 juta

PERSATUAN Pengguna Kedah (CAKE) memfailkan saman sivil ke atas pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di Mahkamah Tinggi di Alor Setar, menuntut ganti rugi lebih RM1.5 juta susulan penularan Covid-19 di bawah Kluster Sivagangga di Kedah sejak 28 Julai lalu.

CAKE selaku plaintif mengakui pihaknya mewakili hampir 200 penduduk dan peniaga di daerah Kubang Pasu, termasuk Napoh, yang terjejas akibat penularan wabak bagi kluster tersebut.

Saman ke atas pemilik restoran itu, Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57 tahun, yang dinamakan sebagai defendan, difailkan peguam Mohammad Zunun Baihakky.

Dalam writ saman tersebut, CAKE antara lain menuntut defendan membayar wang pampasan RM1.5 juta, ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh mahkamah kelak, ganti rugi khas teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi meruncing dan ganti rugi nominal.

CAKE juga menuntut satu injunksi interim terhadap Nezar bagi menghalang defendan keluar dari kawasan Napoh.

Setiausaha persatuan, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, saman itu difailkan ke atas defendan yang menjadi pencetus kepada Kluster Sivagangga.

CAKE mewakili empat kategori penuntut iaitu pemilik perniagaan, pekerja premis perniagaan, pekerja gaji harian yang terjejas pendapatan, serta penduduk sekitar Napoh dan Megat Dewa.

Ia turut mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Jawatankuasa Peniaga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh serta dua persatuan penduduk di Napoh.

Mohamad Yusrizal berkata, tuntutan penduduk tersebut termasuk tiga pesakit positif COVID-19 di daerah Kubang Pasu.

Related posts

Leave a Comment