BN dicabar ‘pokok’ dan ‘buku’

BARISAN Nasional (BN) akan dicabar dua calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43 akan dicabar Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 dan S. Sentharasekaran, 44 tahun.

Mohd Zaidi adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim manakala peguam, Amir Khusyairi mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar secara rasmi.

Seorang lagi calon Bebas ialah S. Sentharasekaran, 44 tahun.

Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat pegawai pengurus pilihan raya Shamsul Ridzuan Idris selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, ditutup pada 10 pagi.

Mohd Zaidi hadir bersama pencadang iaitu Yang Dipertua Pas Tanjung Malim Mohd Tarmizi Ab Rahman dan penyokong, Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Malim G. Magendran, menyerahkan borang pencalonan pada 9.03 bagi mempertahankan kerusi BN itu.

Amir Khusyairi pula diiringi pencadang Mohd Fazley Mohd Isa dan penyokong Siti Robangiah Abdul Jalil, mengemukakan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi dan akan menggunakan simbol pokok.

Bekas guru Sentharasekaran yang menggunakan simbol buku pula, hadir bersama pencadang P. Chantiran dan penyokong Chai Kin Kheong, menyerahkan borang pencalonan pada 9.02 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 25  Ogos ini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas. 

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi yang mewakili BN, menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas Muhammad Zulfadli Zainal.

Seramai 23,094 pengundi layak mengundi iaitu 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

Related posts

Leave a Comment