Bersatu sertai Muafakat

MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN) yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar, kata Presidennya, Muhyiddin Yassin.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita. 

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 yang berlangsung hari ini. Perutusan tersebut dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi Muhyiddin hari ini.    

Pemilihan Bersatu hari ini membuka tirainya membabitkan sayap Armada, diikuti Srikandi esok manakala pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi pula akan berlangsung semasa persidangan peringkat bahagian yang dijadualkan 22 Ogos ini.

Muhyiddin yang juga pemangku pengerusi parti, menegaskan beliau sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti seperti  UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional. 

Jelasnya, beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan itu yang antara lain akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam PN.

Muhyiddin turut mengingatkan ahli parti agar meneruskan dan mempertahankan perjuangan walaupun ada pemimpin terdahulu seperti bekas pengerusi, Dr Mahathir Mohamad memilih haluan lain.

“Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangannya kepada parti kita. Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepadanya.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.r

“Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan,” katanya sambil menegaskan yang beliau tidak mempunyai sebab untuk mengkhianati.

Katanya, dalam tempoh empat tahun ini (sejak Bersatu ditubuhkan), jumlah keahlian parti telah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara dengan menubuhkan 197 bahagian dan 2,950 cawangan yang berdaftar.

Attachment.png

Related posts

Leave a Comment