PKR sekadar tujuh kerusi

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengumumkan untuk bertanding di tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata, perkara itu mendapat restu dan pengesahan daripada Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

PKR sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 14 kerusi.

Christina juga memaklumkan PKR akan menggunakan logo parti sendiri berbanding rakan komponen Pakatan Harapan (PH) seperti DAP dan Amanah yang bersetuju mengguna pakai lambang Warisan.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Warisan, DAP, UPKO dan Amanah dalam memastikan kestabilan sebagai satu pasukan yang mantap untuk mempertahankan mandat rakyat.

Meskipun keputusan menggunakan logo sendiri, kami berharap pengundi di Sabah akan terus menyokong pakatan ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya lagi, PKR Sabah akan meneruskan kesinambungan hubungan sedia ada di antara sekutu parti mereka selain memberikan sokongan kepada Mohd Shafie Apdal selaku Presiden Warisan.

Tujuh kerusi dimaksudkan adalah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Related posts

Leave a Comment