Terus bersatu, tabah – PM Lee

SINGAPURA mesti “terus bersatu padu dan tabah” dalam menangani Covid-19. Itu antara amanat Perdana Menteri Lee Hsien Loong sempena Hari Kebangsaan pada hari ini, Ahad , 9 Ogos.

“Selagi penawarnya masih belum ditemui, kita perlu terus berwaspada dan mencari huraian, untuk menjaga keselamatan diri kita, orang tersayang dan jiran-jiran kita,” katanya semasa menyampaikan amanatnya ke seluruh negara pagi ini.

Katanya, banyak negara sudah mula menyaksikan jumlah kes Covid-19 meningkat dengan mendadak walaupun pada peringkat awal berjaya mengawal penularan dan kemudian melonggarkan sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan.

“Ini juga boleh berlaku pada kita, meskipun dengan semua langkah waspada dilaksanakan,” kata Lee.

Sambil mengingatkan krisis itu masih belum berakhir, Perdana Menteri, berkata besar kemungkinan ia akan mengambil masa selama “setahun dua lagi sebelum vaksinnya dapat dihasilkan dan ancaman virus ini dapat diatasi”.

Beliau berkata walaupun Covid-19 menyebabkan kemelesetan ekonomi tetapi ini bukanlah krisis ekonomi yang pertama bagi Singapura sambil merujuk kepada Krisis Kewangan Asia 1997, kesan tragedi serangan pengganas pada 11 September 2001 dan krisis kewangan global antara 2007 hingga 2009.

“Kita terus bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan kita, sambil bertekad untuk sama-sama mengatasinya.  Saya yakin kita juga akan dapat mengatasi krisis ini, walaupun ia mungkin mengambil masa yang lebih lama. Kita semua mesti memainkan peranan memastikan tiada seorang pun yang dibiarkan seorang diri.”

Beliau berkata, Pemerintah akan “membantu secara aktif” rakyat Singapura untuk mencari pekerjaan dan menimba kemahiran baru.

Beliau menggesa para majikan supaya “melaksanakan segala usaha” untuk mengekalkan tenaga kerja masing-masing dan “tidak memberhentikan mereka secara sewenang-wenangnya”.

Pengalaman Singapura melawan COVID-19 telah menyatukan rakyat negara ini, menurut PM Lee.

“Krisis yang diharungi ini akan menguatkan tekad semua penduduk dan mengukuhkan hubungan kita sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu

“Sama seperti Generasi Perintis dan Generasi Merdeka yang terkesan dengan Pemisahan dan Kemerdekaan, dan krisis-krisis ekonomi yang dilalui di awal pembangunan Singapura sebagai sebuah negara.

Beliau juga menarik perhatian kepada Perbarisan Hari Kebangsaan 2015, apabila Singapura menyambut SG50 sambil memperingati pemergian pengasas Singapura, Perdana Menteri pertama Lee Kuan Yew, pada awal tahun itu.

Beliau mengajak semua mempersiapkan diri mengharungi cabaran-cabaran mendatang supaya pada tahun-tahun akan datang, apabila anak cucu kita menyambut Hari Kebangsaan, mereka akan mengimbas kembali masa-masa seperti ini dan berkata, “Ya, generasi ini berdiri teguh bersama, sanggup berkorban untuk satu sama lain dan membina Singapura yang lebih baik untuk kita,” kata Lee.

“Kita mempunyai impian untuk direalisasikan dan matlamat untuk dikecapi. Mari kita tunjukkan kepada seluruh dunia bahawa walau apapun cabaran yang dihadapi, rakyat Singapura akan tetap bersatu padu dan akan bangkit lebih hebat dan teguh sekali lagi.”

Related posts

Leave a Comment