TEMCO Sanglang hingga 4 September

MENTERI Besar Perlis, Azlan Man meminta semua penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau Targeted Enhanced Movement Control Order (TEMCO) mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan, Azlan berkata, tempoh kuatkuasa TEMCO selama sebulan bermula 10 malam tadi, 8 Ogos 2020 hingga 4 September 2020 melibatkan dua buah kampung, iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Sanglang.

Seramai 912 penduduk terlibat sementara tiga buah sekolah iaitu SK Sanglang, SMK Sanglang dan SJKC Chin Hun diarahkan tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis selama dua minggu mulai Isnin, 10 Ogos hingga 23 Ogos 2020. Seramai 876 murid dan 112 guru terlibat.

Guru-guru terlibat kini diwajibkan menjalani Home Isolation Order (HIO) atau Perintah Pengasingan Dirumah selama tempoh tersebut.

Lima belas pelajar Tingkatan 6, SMK Syed Alwi dari dua kampung  terlibat yang akan menjalani peperiksaan mulai 12 Ogos 2020 telahpun disediakan tempat tinggal sementara di asrama sekolah dan tempat tinggal alternatif lain berdekatan sekolah.

Saringan komprehensif ke atas semua 912 penduduk terlibat telahpun bermula oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis melibatkan 40 orang petugas kesihatan.

Katanya, PDRM telah mula mengawas dan mengawal jalan-jalan masuk/keluar kedua-dua kampung berkenaan seawal pukul  10 malam tadi sementara pusat kuarantin juga sudah bersiap sedia untuk menerima mereka yang perlu diasingkan.

Bantuan segera dalam bentuk makanan juga telah mula diedarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis dan MAIPs kepada penduduk yang terkesan.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama ADUN Sanglang akan segera menyusun atur pengagihan bekalan makanan asas di bawah Program Agihan Makanan Asas (PAMA) kepada keluarga terlibat di kampong tersebut.

 

FOTO : Suasana sekitar Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, proses pengambilan kontak rapat berpotensi bagi penduduk kampung yang terlibat. (FB MKN)

Related posts

Leave a Comment