Bersatu mula ditinggalkan

SEORANG demi seorang pemimpin mula meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selepas Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru petang semalam.

Mereka termasuklah bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, A Kadir Jasin dan Ahli MPT, Tariq Ismail Mustafa.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli juga mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa Khamis lalu.

Mohd Shaid Rosli bersama ahli-ahli jawatankuasa dan ketua-ketua cawangan Bersatu Kuala Selangor mengumumkan meninggalkan Bersatu kerana ingin bersama-sama berjuang dalam parti yang bakal ditubuhkan Dr. Mahathir.

Majoritinya memberi alasan meninggalkan Bersatu kerana berasakan parti itu sudah tergelincir daripada landasan perjuangan yang sebenar sejak ia bergabung semula dengan UMNO yang telah ditolak rakyat untuk membentuk kerajaan PN.

Ketika mengumumkan keluar Bersatu, Mohd Shaid memberitahu, beliau bersama dua pertiga Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kuala Selangor serta sebahagian besar 13 cawangan bahagian itu turut mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Katanya, beliau akan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas.

“Keberangkalian besar kami akan menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mendukung dasar Bersatu seperti mana di awal penubuhannya dulu.

Sekarang ini (di Dewan Undangan Negeri), kita duduk di blok bebas dan akan menjadi timbang tara iaitu menyokong segala yang baik sama ada (di pihak) kerajaan atau pun pembangkang,” katanya pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor di Puncak Bestari, di sini pada Sabtu.

Mohd Shaid berkata, keputusan meninggalkan Bersatu dilakukan bersama jawatankuasa bahagian itu dan ketua cawangan berikutan kemelut yang melanda parti berkenaan selepas penyingkiran Dr Mahathir.

“Kami merasakan perjuangan asal Bersatu tersasar daripada objektif asal penubuhannya iaitu untuk melawan sebuah kerajaan kleptokrasi selain sanggup menjalin kerjasama dengan individu yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya.

Beliau juga berkata, Bersatu sukar membentuk satu gabungan bersama dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) kerana kesemua parti ditunjangi kaum Melayu.

“Maka kawasan untuk bertanding menjadi rebutan dan berlaku unsur mengkhianati antara satu sama lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment