Singapura juga cari pendaki dilaporkan hilang

SINGAPURA 21 Mei – Ketika Malaysia sedang mencari pendaki Gunung Everest yang dilaporkan hilang, Singapura juga melancarkan operasi mencari dan menyelamat pendaki warganegaranya yang juga hilang ketika pendakian.

Shrinivas Sainis Dattatraya, 39, seorang pengarah eksekutif di firma hartanah Jones Lang LaSalle, berlepas ke Everest pada 1 April dan dilaporkan telah sampai ke puncak Gunung Everest, ketika mengirim mesej kepada isterinya Jumaat lalu.

Bagaimanapun beliau memberitahu kemungkinan tidak dapat turun semula.

Menurut laporan media Singapura, Shrinivas memaklumkan beliau telah menghidap cerebral edema altitud tinggi (Hace), sejenis penyakit altitud tinggi serius yang boleh membawa maut.

Jurucakap  Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi telah berhubung rapat dengan keluarga Shrinivas, pihak berkuasa tempatan di Nepal dan perkhidmatan perubatan kecemasan sejak petang Jumaat.

Sementara itu, keluarga peserta ekspedisi kurang pendengaran Malaysian Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang pada Jumaat, meminta rakyat Malaysia mendoakan keselamatan pendaki itu..

Ibu Muhammad Hawari, Che Tom Hassan, 64, berkata dia hanya mengetahui khabar duka itu kira-kira pukul 11 pagi semalam menerusi media sosial dan kini tertunggu-tunggu untuk mengetahui perkembangan kehilangan anaknya itu.

Beliau turut memohon seluruh rakyat Malaysia berdoa agar anak ketiga daripada lima adik beradik itu ditemui dalam keadaan selamat dan urusan pencarian bapa kepada dua cahaya mata itu dipermudahkan.

“Berita gembira dia dah berjaya tawan Everest tu kami dah dapat, sekarang kami duk (sedang) tunggu berita perkembangan macam mana keadaan dia di sana. Semuanya kami dapat melalui Facebook saja,” katanya.

Related posts

Leave a Comment