PKR tagih pampasan RM200j

KUALA LUMPUR: Dua puluh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar dari parti itu dituntut untuk membayar RM10 juta setiap seorang.

PKR akan mengeluarkan surat tuntutan terhadap mereka termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali (MP Gombak) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (MP Ampang).

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung dalam satu kenyataan berkata ia merupakan bayaran pampasan yang dipersetujui sebelum ini sekiranya mereka berpaling tadah daripada PKR, dan memperuntukkan kerusi itu untuk kepentingan peribadi, di samping menggunakannya bagi tujuan yang bertentangan daripada kepentingan parti.

Surat tuntutan itu menuntut mereka untuk membayarnya tidak kurang daripada tempoh tujuh hari. Sekiranya mereka gagal dalam tempoh masa dan aturan yang ditetapkan, parti telah mengarahkan pihak peguam untuk meneruskan prosiding yang sesuai terhadap mereka bagi mendapatkan pampasan yang dituntut.

Selain Azmin dan Zuraida, surat tuntutan itu turut dihantar kepada Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak),  Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau).

ADUN pula melibatkan Dr Chong Fat Full (Pemanis), Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa), Dr Afif bin Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Untuk rekod, mereka yang dipecat sebelum ini adalah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha dan dua ADUN Pulau Piinang Dr Afif Bahardin dan Zulkifli Ibrahim.

Related posts

Leave a Comment