Kabinet angkat sumpah

SINGAPURA: Kabinet baharu Singapura bagi Parlimen ke-14 mengangkat sumpah jawatan lewat petang ini, 27 Julai di Istana dan bangunan Parlimen.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendahului senarai anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Halimah Yacob, di Istana dan Hakim Besar Sundaresh Menon.

Orang kedua mengangkat sumpah jawatan ialah Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat diikuti barisan anggota Kabinet lain  termasuk dua menteri penuh Melayu/Islam, Masagos Zulikifli dan Dr Mohd Maliki Osman, serta Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad dan Menteri Negara Dr Faishal Ibrahim.

Pilihan Raya Umum Singapura berlangsung pada 10 Julai dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) diterajui Lee selaku Setiausaha Agung  memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan setelah memperoleh 61.2 peratus undi popular. Parti Pekerja memenangi 10 kerusi.

Pada 25 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan barisan Kabinet baru 33 anggota itu bertujuan untuk mengimbangi kesinambungan, pendedahan dan pembaharuan.

Dalam ucapannya hari ini, Lee yang berucap dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina berikrar  akan menggunakan mandat yang diberi rakyat untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab bagi menangani cabaran-cabaran besar yang mendatang.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Pemerintah akan terus memberikan sokongan kepada sektor perniagaan yang terjejas teruk dengan krisis Covid-19.

“Kami akan menggunakan mandat ini untuk bertindak secara berhemah dan penuh tanggungjawab bagi pihak anda, demi menangani cabaran-cabaran besar yang mendatang. Saya dan pasukan saya berazam untuk membawa Singapura keluar daripada krisis ini dengan selamat. Bersama-sama kita akan menjadi lebih teguh selepas ini,” katanya.

Katanya, Covid-19 terus menjadi krisis hebat yang sedang melumpuhkan dunia termasuk Singapura dari segi kesihatan dan ekonomi di mana  ekonomi sejagat dijangka terus suram.

Beliau mengakui banyak lagi pekerjaan akan hilang dan pemerintah akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan pekerjaan, dan membantu mereka yang hilang pekerjaan, mencari pekerjaan baharu..

“Selain kemakmuran ekonomi, Pemerintah juga mesti memenuhi aspirasi rakyat Singapura yang lebih luas. Kita mahu menjadi sebuah masyarakat yang adil dan saksama, dengan pelbagai peluang untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, tugas Kabinet dan Pemerintah baru telah bermula dan mengingatkan walau apa pun aliran politik, jangan sekali-kali lupa bahawa pada dasarnya, “kita adalah rakyat Singapura”.

“Oleh itu, marilah kita semua bersatu padu dan menumpukan perhatian kepada cabaran-cabaran utama di hadapan kita. Marilah kita bekerjasama sebagai satu Singapura, demi memperbaiki kehidupan kita, menjamin masa depan kita dan memperteguh serta memperindahkan tanah air yang kita sayangi dan banggakan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment