Indonesia cecah 100,303 kes

SINGAPURA mencatatkan 469 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 15 kes merupakan kes import dan kesemua kes import dikenakan Notis Duduk Di rumah, semasa tiba di negara itu.

Terdapat dua kes dalam komuniti di mana seorang daripadanya merupakan warga Singapura dan seorang lagi pemegang pas pekerja. Majoriti besar kes masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, setakat ini jumlah keseluruhan kes di republik itu 50,838 kes di mana 45,521 atau 90 peratus daripada jumlah kes, telah pulih dan terdapat 173 kes masih dirawat.

Sementara itu dalam data yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 671 sebagai kes import, 2,162 kes komuniti dan 47,533 pula melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sejumlah 4,6481 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat. Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat Covid-19

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes dengan pertambahan 1,525 kes baharu yang membawa jumlah kes kini mencecah 100,303 dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 27 Julai sebanyak 57 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 4,838 orang.

Sebanyak 58,173 pesakit daripada 100,303 kes yang positif virus itu telah sembuh, manakala 54,910 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 20,812 kes, diikuti Jakarta (19,592) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Jawa Timur juga merekodkan kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,608 orang, diikuti Jakarta 769, Jawa Tengah 574, Sulawesi Selatan 307 dan selebihnya di wilayah lain.

THAILAND merekodkan empat lagi kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 3,295.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) melaporkan kes  itu melibatkan tiga orang yang baharu tiba dari Amerika Syarikat dan satu kes dari Taiwan.

Pesakit pertama, seorang pelancong berusia 44 tahun tiba 20 Julai lalu dan diuji positif pada Sabtu dan dikuarantin di wilayah Chon Buri. Dua lagi adalah lelaki berusia 25 tahun dan pelajar berusia 21 yang diuji positif selepas tiba pada Sabtu.

Sementara itu seorang pekerja kilang berusia 30 tahun dari Taiwan dikesan positif pada Sabtu lalu selepas tiba Selasa serta dikuarantin.

Jumlah kematian pula kekal 58.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 27 Julai 2020, telah merekodkan 82,040 kes Covid-19 termasuk 1,657 kes yang dilaporkan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 59 daripada 90 makmal..

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 359 pesakit yang sembuh dan ini membawa jumlah kes pulih meningkat kepada 26,446.

Ketika ini terdapat 53,649 kes aktif manakala 16 kematian dilaporkan menjadikan 1,945 kes pesakit meninggal dunia.

Related posts

Leave a Comment