Kabinet baharu Singapura

SINGAPURA : Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan barisan baharu Kabinet yang menampilkan tujuh muka baharu dan mengekalkan Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Pada sidang media dalam talian pada 25 Julai, Lee berkata Swee Keat turut memikul tanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-dasar Ekonomi.

Katanya, tiga ahli Kabinet terdahulu akan bersara,  enam lagi dinaikkan pangkat dan tujuh muka baharu dilantik.

Secara keseluruhan, Lee berkata seramai 37 akan dilantik, iaitu sama dengan senarai kabinet pada 2015.  

Dua menteri kanan iaitu Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam masing-masing kekal sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-dasar Sosial.

Chan Chun Sing kekal sebagai Menteri Menteri Perdagangan dan Industri sementara Ong Ye Kung dilantik Menteri Pengangkutan yang baharu susulan persaraan Khaw Boon Wan.

Kabinet baharu juga mengekalkan dua wakil Melayu sebagai menteri penuh iaitu Masagos Zulkifli dan Dr Maliki Osman.

Masagos dilantik sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Kedua Kesihatan. Beliau juga kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Orang Islam, selain melepaskan jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air. 

Maliki dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh iaitu Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan dan Menteri Kedua Hal Ehwal Luar.

Sementara itu, Gan Kim Yong  kekal sebagai Menteri Kesihatan manakala Lawrence Wong melepaskan jawatan sebagai Menteri pembangunan Negara selepas dilantik Menteri Pendidikan selain kekal sebagai Menteri Kedua Kewangan.

Kedua-dua Gan dan Wong merupakan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19.

Desmond Lee pula dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara yang baharu, sementara S Iswaran, Ng Eng Hen,  Vivian Balakrishnan, K Shanmugam dan Josephine Teo masing-masing kekal di kementerian  sebelum ini.

Upacara angkat sumpah untuk jemaah menteri dan lain-lain jawatan akan berlangsung pada 27 Julai ini di Istana dan Parlimen. 

Parti Tindakan Rakyat yang diterajui Lee sebagai Setiausaha Agung mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum Singapura selepas memenangi 83 daripada 93 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Related posts

Leave a Comment