Ketatkan semula SOP PKP

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil susulan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh hampir seminggu ini.

Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

“Jawatankuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini,” katanya pada sidang media pada 25 Julai.

Ismail Sabri berkata, SOP untuk Hari Raya Aidiladha yang akan disambut 31 Julai ini juga akan dimuktamadkan dan diumumkan Isnin ini.

Selain itu, susulan beberapa kluster baharu dikesan membabitkan kru kapal, SOP berkaitan kumpulan terbabit turut diteliti.

“Polis akan memantau pematuhan SOP ketika sambutan Aidiladha sama seperti pada Aidilfitri lepas. Jika berlaku pelanggaran SOP, tangkapan dan tindakan dibuat terus di lapangan,” katanya.

Mengenai keperluan melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) di Sarawak berikutan peningkatan kes jangkitan di negeri itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment