KUALA LUMPUR 3 Dis. – Seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.
Pada masa yang sama, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan berkata, N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.
Katanya, kes Maridass serta syarikat P Tech Resources telah dibicarakan bersama dan seramai 38 saksi dipanggil memberi keterangan.
Menurut kenyataan itu lagi, Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman pada 30 November selepas mereka mengaku bersalah.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff menegaskan JAS komited dalam menangani isu pencemaran alam sekitar dan semua pihak diingatkan serta diberi amaran tegas supaya tidak melakukan sebarang pelupusan haram sisa toksik dan berbahaya atau pencemaran alam sekitar.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak industri untuk memastikan pengurusan alam sekitar termasuk buangan toksik dan berbahaya (buangan terjadual), kawalan pencemaran udara dan air dilaksanakan dengan sempurna bagi mencegah berlaku pencemaran yang berpotensi memberi risiko kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
